Judul : Pengalaman Seram Doktor Sewaktu Melawat Sebuah Hospital Sakit Jiwa Di Johor
link : Pengalaman Seram Doktor Sewaktu Melawat Sebuah Hospital Sakit Jiwa Di Johor
Pengalaman Seram Doktor Sewaktu Melawat Sebuah Hospital Sakit Jiwa Di Johor
Malam itu aku pulang lewat. Bahkan, sejak kebelakangan ini hampir setiap malam aku pulang lewat. Selepas waktu kerja, aku ambil slot lokum di klinik berhampiran rumah aku, sehingga tengah malam. Ini semua bukan kerana aku gila kerja atau kesempitan wang. Aku cuma bosan duduk di rumah keseorangan.
Sewaktu aku memandu pulang dari lokum, kelihatan ada sebuah van di hadapan tembok pagar rumah aku. Warnanya jingga. Mungkin juga putih susu. Lampu di bahu jalan yang malap menyukarkan aku meneka warna sebenar kenderaan tersebut.
“Hospital Permai, Johor Bahru”
Setelah kereta yang aku pandu menghampiri pagar rumah, aku perasan nama hospital psikiatri milik kerajaan tertera di sisi kenderaan berkenaan. Seorang lelaki duduk bersandar di kerusi pemandu. Suar merah di bibirnya membara, berbalam, dan disusuli terjahan kepulan asap yang keluar dari bibir yang meluncung.
Rokok—pembunuh bersiri yang telah disabitkan kesalahan atas bukti-bukti nyata, namun masih dibiar bebas meracuni tubuh masyarakat; termasuk kalangan petugas-petugas kesihatan.
Punat alat kawalan jauh ditekan. Pintu pagar automatik yang dilimpahi pancaran lampu depan keretaku, mulai berganjak dan sebaik sahaja pintu itu terbuka cukup luas untuk kereta mencelah, aku segera pandu masuk ke perkarangan rumah.
Menerusi cermin pandang belakang, aku lihat lelaki itu berdiri di muka pintu pagar yang sudah terkuak luas. Rokoknya sudah tidak kelihatan. Aku matikan enjin, lantas keluar daripada perut kereta dan menoleh ke arah pagar.
“Kamarul?” soal lelaki berbaju kemeja lengan pendek berwarna kuning air, dan berseluar coklat muda yang berada di luar itu. Jari telunjuknya tertuding padaku.
“Ya.” jawabku sambil melangkah deras mendekati lelaki berkenaan.
“Saya nak sampaikan surat ni.” ujarnya sambil menghulurkan sekeping sampul surat bersaiz DL. Di atasnya tertampal sekeping sticky note.
Aku ambil sampul surat itu dari tangannya lantas membelek kertas kecil segi empat sama berwarna kuning tersebut. Sesuatu tertulis padanya, namun sukar dibaca. Bukan kerana cakar ayam, tetapi kerana ia di tulis menggunakan pensel. Suasa yang gelap, menyukarkan lagi perkara yang memang sudah sukar. Aku terpaksa menilik surat itu sejengkal daripada hidung untuk mengetahui apa yang tertulis.
“BALAS HARI INI JUGA!”
Ayat arahan yang tegas dan ditulis dengan semua huruf besar ini membuatkan aku terasa seperti bukit diletakkan ke atas pundakku. Pasti ia sesuatu yang penting dan perlu diselesaikan dengan segera.
Sampul surat dikoyakkan. Helaian kertas yang terilipat tiga dihunus keluar daripada sampul surat, kemudian lipatannya dibuka. Sejujurnya, aku membayangkan ia adalah dokumen rasmi lengkap dengan kepala surat dan tajuk, namun surat ini tiada itu semua.
Ini warkah tulisan tangan yang dicoret atas helaian kertas kajang. Mengingatkan aku pada zaman ketika telefon bimbit, internet serta komputer masih dianggap suatu kemewahan. Zaman di mana mempunyai sahabat pena dianggap satu hobi yang penuh gaya dan uja.
Perenggan pertama berbunyi;
“Nama aku Adam. Kau tak kenal aku, tapi tolong percaya, aku tak gila. Aku tak patut berada dalam hospital sakit jiwa ni. Kau kena tolong aku. Nyawa aku bergantung pada kau, jadi baca betul-betul apa aku nak tulis ni.”
Bukit di pundakku tadi, kini telah menjadi gunung. Otot-otot bahuku mengeras, lututku longlai bagai hendak terlepoh. Aku seorang doktor, buat keputusan yang melibatkan soal hidup dan mati seseorang memang lumrah kerja aku, namun aku tak pernah rasa selesa menghadapinya.
Kenapa sandarkan nyawa pada aku?
Aku menghela nafas dalam-dalam, kumpul semula kudrat dan gagahkan diri teruskan bacaan untuk mengetahui lebih lanjut mencari jawapan. Perenggan berikutnya, Adam memberitahu dia dimasukkan ke fasiliti psikiatri itu setelah perbicaraan memutuskan bahawa dia mempunyai masalah kesihatan mental.
Dia tak gembira dengan keputusan itu.
Adam mengaku membunuh Alia dan Lana—isteri dan anaknya yang berumur 6 tahun. Pengakuan itu disokong oleh bahan bukti yang kukuh, namun peguambela pro bono berjaya meyakinkan hakim bahawa Adam mempunyai masalah psikiatri. Adam tak gembira. Berkali-kali dia menekankan bahawa dia tak setuju dengan keputusan mahkamah. Dia mahu dihukum MATI.
Tak masuk akal. Tambahan pula dia menceritakan dengan begitu terperinci bagaimana hidupnya porak peranda kerana ada zat jahat yang mendampinginya. Ketukan di bawah katil. Wap nafas di tingkap. Kerikan rumah. Hembusan dingin di tengkuk. Perasaan diperhatikan. Kehadiran di ekor mata. Adam ceritakan ke semuanya. Namun, yang membuatkan bulu romaku meremang adalah apabila dia menceritakan perihal cermin.
Dalam cermin, entiti itu menjelmakan kewujudannya. Adam mengambarkan, setiap kali dia menghadap cermin, entiti itu kelihatan meninjau di sebalik batang lehernya. Seperti pemangsa yang mengintai. Siap sedia untuk menerkam. Tiba suatu ketika apabila mata mereka bertentangan, entiti itu menerpa dan menerobos masuk ke dalam matanya dan terus menginap di sana.
Semenjak itu, entiti itu menjiwai amarah dan serakahnya, sehingga dia sering hilang kendali diri. Ia membisikkan benci, membenihkan rasa jijik kepada darah daging sendiri. Ekoran itu, tiada lagi suci dalam berahi, isteri didekati dengan kelahi. Anak diladeni dengan kaki. Adam memerikan segala nista yang dilakukannya kepada mereka dengan begitu terperinci. 6 muka surat yang mengerikan. Apati dan anani. Ngilu terasa di tulang apabila menggambarkannya.
Emosi aku mulai terganggu.
Aku selak helain surat. 6 helai lagi. Panjang betul. Membaca dalam suasana kelam membuatkan mataku lesu. Lagi-lagi setelah penat seharian bekerja. Namun begitu, aku perlu teruskan membaca. Masih banyak persolan yang belum terjawab. Belum ada penjelasan kenapa aku dipilih atau kenapa dia lebih rela terima hukuman mati. Aku mengangkat muka. Di hadapanku, tercegat lelaki si pengutus surat sambil tangan kanannya mengusap-usap lengan kirinya. Hawa di luar agak dingin dan menyerikan, seperti ribuan jarum menusuk di kulit.
“Balasan surat ni nanti, saya kena serahkan pada encik?” soalku.
Dia mengangguk. Dunia diterangi cahaya yang membutakan. Petir bisu memberi amaran tentang kedatangan rintik-rintik dari langit.
“Kalau begitu, jemputlah masuk, dulu. Saya nak sambung baca di dalam. Di luar ni gelap. Lagipun dah nak hujan ni.” kataku.
Aku melangkah mendekati rumahku dan setibanya di muka pintu dapur, aku dapati lelaki tadi tiada di belakang aku. Aku menoleh ke belakang. Aku dapati lelaki itu masih tercegat di hadapan pintu pagar.
“Eh, kenapa tercegat di situ lagi? Masuklah.” seruku sambil melambainya untuk masuk. Dia mengangkat tangan dan meletakkan tapak tangan ke hadapan. Ketika itu aku perasan di mulutnya ada merah yang membara.
Rokok. Jalan pintas bertemu Izrail – malaikat maut. Namun kebanyakkan perokok tidak sedar hidup ini perjalanan sehala dan tiada brek, sehinggalah kematian datang mengetuk pintu.
Aku membancuh kopi hitam, meletakkannya di atas meja dan memanggil tetamu aku masuk.
“Encik, jemput masuk dulu. Saya ada buat air.” pelawaku.
Surat tadi ku capai dan bacaan disambung. Kini Adam menceritakan nasibnya ketika di dalam tahanan wad. Setiap kali dia mengadu pada doktor yang dia mendengar suara yang menyuruhnya mencederakan pesakit lain, dia diberi pil. Bila ditelan pil itu, tekaknya terasa bagai dirobek. Suara itu mentertawakan beliau setiap kali itu berlaku.
Adam celaru.
Tanpa pil itu pula, membuak-buak rasa ingin membunuh. Beberapa kali Adam disuntik pelali kerana bertindak ganas menyerang jururawat dan pesakit lain. Adam terpaksa di-isolasi. Itu membuat keaadannya semakin memperparah.
Ditemankan 4 dinding, siling dan lantai, jiwanya diseksa. Mindanya terngiang-ngiang wajah Lana menggelupur lemas ketika dia membenamkan kepala kanak-kanak itu di dalam tab mandi yang penuh air. Wajah Alia ketika dia mencengkam kejap lehernya dengan kedua-dua belah tangan. Suara itu mengingatkannya betapa hina, nista dan keji perbuatannya.
Adam pernah cuba mengambil nyawanya sendiri. Namun setelah suara itu memberi bayangan betapa peritnya seksaan neraka, Adam berundur. Seksaan demi seksaan, tubuh Adam sudah tak dapat bertahan lagi. Dia semakin tenat dan lemah. Terlantar dan menghabiskan kebanyakkan masanya di atas katil.
Tulisan Adam semakin sukar dibaca. Ejaannya tunggang langgang, namun masih boleh difahami.
“Semalam suara tu kata nak berhenti ganggu aku, tapi dengan satu syarat. Aku kena turunkan sumpahan ni pada orang lain. Sebab itu aku tulis surat ini. Sumpahan ini akan berpindah pada siapa yang menjemput puaka itu ke dalam rumahnya sebanyak 3 kali.”
Telinga aku merah. Panas. Jantungku berhenti sesaat. Aku menengadahkan muka aku. Senyuman yang terpamer di muka lelaki berdiri di hadapan ku, penuh dengan kelicikan dan tipu muslihat.
“Salam perkenalan!” ujarnya kemudian membuka mulutnya dengan luas. Hujung lidahnya membara, cahayanya menerangi barisan gigi-gigi kecil runcing. Berkepul-kepul asap keluar daripada kerongkongnya.
Moga Tuhan lindungi aku…
sumber: taikotai
✍ Sumber Pautan : ☕ Siakapkeli
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2sR1u2s
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Appear First on Malaysia Sepekan
Demikianlah Artikel Pengalaman Seram Doktor Sewaktu Melawat Sebuah Hospital Sakit Jiwa Di Johor
Anda sekarang membaca artikel Pengalaman Seram Doktor Sewaktu Melawat Sebuah Hospital Sakit Jiwa Di Johor dengan alamat link https://malaysiasepekan.blogspot.com/2017/06/pengalaman-seram-doktor-sewaktu-melawat.html