Judul : Jika bukan Qatar, IM dan Hamas, siapakah yang negara arab takutkan ?
link : Jika bukan Qatar, IM dan Hamas, siapakah yang negara arab takutkan ?
Jika bukan Qatar, IM dan Hamas, siapakah yang negara arab takutkan ?
1. Raja Kuwait syeikh Soubah sedang berada di Riyadh sebagai orang tengah untuk meredhakan ketegangan antara Saudi(&GCC)-Qatar, di masa ini menteri luar Saudi yang dahulu menjadi buah mulut warga netizen [kerana kefasihannya di dalam berbahasa inggeris dan hujah moleknya menafikan kaitan isis dengan islam], Adel Jubeir membuat kenyataan di Paris bahawa Qatar mesti menghentikan segala bentuk sokongan terhadap kumpulan pengganas seperti Hamas dan Ikhwan Muslimin. Kenyataan Adel di masa rundingan sedang berlaku dilihat sebagai sebuah pengumuman SYARAT yang diperlu dipatuhi oleh kerajaan Qatar sebagai imbalan untuk diangkat sekatan zhalim yang dikenakan terhadap Qatar. Ini adalah jika kita mengandai sekatan ini hanya untuk Qatar mengubah polisi mereka, tanpa cita-cita untuk menggulingkan raja Qatar atau melenyapkan kerajaan Qatar. [Update : Raja Kuwait telah sampai ke Qatar]
2. Berita mengatakan 10 tuntutan telah diserahkan kepada Raja Kuwait telah disahkan palsu. Para penganalisa cuba membaca apakah motif di sebalik sekatan yang dikenakan terhadap Qatar, dan justifikasi turut diberikan oleh negara-negara yang terlibat dengan hujah yang berbagai-bagai. Namun setelah rundingan tidak rasmi itu, dalam kenyataan Jubeir, menteri luar Saudi itu tidak menyebut tentang sokongan Qatar kepada Houthi, tidak sebut tentang hubungan Qatar dengan Iran, tidak sebut tentang apa-apa yang membahayakan kesalamatan negara GCC dan Saudi ataupun sokongan terhadap Daesh seperti yang dituduh sebelum-sebelum ini, yang disebut hanya adalah “Cukup-cukuplah, Qatar mesti berhenti sokong Hamas dan IM”. Jadi kita membaca bahawa yang menjadi sasaran utama sekatan ini adalah Hamas dan IM. Kenapa Hamas? Adakah Hamas mengancam keselamatan Saudi dan negara-negara GCC? Tidak. Tidak ada sebarang operasi atau cita-cita politik di negara-negara tersebut. Lalu Hamas menjadi ancaman kepada siapa? Ya, Israel. Jadi langkah ini sebenarnya dari siapa dan untuk siapa?
3. Ini tidak menafikan motif lain seperti kegusaran Saudi terhadap polisi luar Qatar yang dilihat bebas dan dilihat kadangkala bertentangan dengan kepentingan kerajaan arab. Namun secara umumnya Qatar tidak lari jauh dari pendirian Saudi, contoh Qatar bersama Saudi dalam operasi di Yaman menentang Houthi, bersama Saudi menyokong gerakan revolusi di Syria menentang Basyar, melainkan hubungan diplomatik dan bisnes antara Qatar dengan Iran. Kalau lihat umumnya kita boleh agak perkara ini adalah secondary. Ia juga tidak menafikan bahawa perubahan polisi yang dikehendaki tentulah luas bukan sekadar perlindungan kepada warga hamas bahkan seperti media al-Jazeera, polisi dengan iran, atau tokoh penggerak arab lain seperti dr azmi basyar juga menjadi sasaran sekatan ini.
4. Pada hujung tahun 2012, selepas perang Gaza-Israel tamat, Raja Qatar Hammad telah mengadakan lawatan ke Gaza, dan ketika lawatan itu dilakukan baginda merestui untuk beri dana sebanyak USD400juta kepada kerajaan Hamas Gaza. Pada 24 Jun tahun berikutnya, Raja Qatar mengumumkan bahawa baginda akan turun dari takhta dan menyerahkan takhta kepada anaknya (raja Qatar kini) iaitu Tamim. Perletakan jawatan itu juga turut diikuti oleh perdana menteri Qatar ketika itu. Pengumuman tersebut mengejutkan ramai kerana menjadi kebiasaan raja-raja Arab untuk memegang kuasa sehingga tua atau mati melainkan jika mereka digulingkan, adapun keputusan untuk menyerahkan kuasa secara aman dalam umur yang tidaklah begitu tua (60 lebih) menimbulkan tanda tanya oran ramai, namun disebabkan Raja Qatar memang dilihat sebagai seorang yang berfikiran waras dan progresif, orang tidak bertanya lebih dan meraikan langkah itu dan memuji tindakan raja tersebut sebagai memecah adat dan mengubah gaya fikir dan masa depan orang arab. Namun ada penganalisa mengatakan bahawa beliau sebenarnya ditekan kerana susulan tindakan sokongan terhadap Gaza secara terang-terangan elok selepas kekalahan Israel pada perang Gaza Israel 2012. Anaknya Tamim (Raja sekarang) dilihat pada ketika itu lebih mesra Amerika, terutamanya kerana latar belakangnya yang mendapat pendidikan penuh dari sekolah sehingga ke universiti dari institusi orang putih di Britain. Namun setelah ditabal menggantikan bapanya, beliau meneruskan legasi bapanya yang pro arab baru / projek kebangkitan bangsa arab. Kebanyakan orang tua dalam pemerintahan juga masih dikekalkan dan pemikiran mereka masih sama seperti di era Raja sebelumnya.
5. Pada bulan 2 baru-baru ini pula Ismail Haniyeh mengumumkan bahawa Raja Qatar baginda Tamim setuju untuk deposit lagi usd100juta untuk bantuan pembinaan infrastruktur di Gaza, dan pada bulan lepas pula Doha dijadikan tempat Hamas mengadakan muktamar mereka, mengiklankan perlembagaan baru mereka dan membuat peralihan kepimpinan organisasi. Daripada email-email balas pihak Amerika bersama duta UAE ke amerika yang telah tersebar kepada umum, nyata bahawa mereka (Amerika serta pihak UAE) punya hasrat untuk menghalang perhimpunan tersebut namun tidak jumpa jalan cepat pada ketika itu. Perhimpunan tersebut berlaku dengan jayanya dengan suaka politik dari kerajaan Qatar. Melihat krisis baru-baru ini berkaitan dengan event yang berlaku beberapa bulan lepas tidaklah jauh jika kita membandingkan dengan apa yang berlaku pada tahun 2012 pada ayah baginda selepas memberikan dana dan sokongan kepada kerajaan Gaza. Ia adalah dendam terhadap gerakan muqowamah di Palestin.
6. Untuk mengandai bahawa motif kali ini ialah menggulingkan Raja Qatar adalah tidak jauh. Ia telah jadi buah mulut dari pihak-pihak yang mengenakan sekatan. Namun susah berlaku kerana Raja Qatar tidak punya pengganti atau seteru yang kuat dan rakyat serta kerajaan secara umumnya bersama raja Qatar. Pendirian rasmi Amerika ketika mana berlaku pergolakan pada sesuatu negara sentiasa bersikap “berkecuali” atau “kami adalah rakan kepada kerajaan sedia ada” walaupun secara jelasnya kita boleh tahu sokongan mereka terhadap pihak tertentu atau kehendak mereka jatuhkan regim tertentu, secara umumnya kerana pergolakan belum membuahkan hasil, dan kepentingan mereka masih ada di negara tersebut. Seandainya perubahan kuasa tidak berlaku, ia akan memburukkan hubungan Amerika dengan kerajaan sedia ada. Semasa proses penggulingan Morsi di Mesir duta US ke Mesir sebut “Kerajaan US menyokong Mesir, rakyat dan pemerintahnya…Sekutu yang terbaik adalah demokrasi yang stabil. Kami menentang huru-hara”. US juga mengiktiraf kesilapan tatacara dalam respon cubaan penggulingan di turki yang dilihat seolah mereka di sebalik komplot tersebut sedangkan yang terbaik adalah bersikap neutral dan kekalkan hubungan baik dengan kerajaan sedia ada dan semua pihak secara umum. Ini menyebabkan hub Turki-US menjadi sangat teruk selepas gagalnya cubaan penggulingan tersebut.
7. Kerajaan Qatar telah membuat kenyataan bahawa perkara ini tidak akan memberi kesan kepada kehidupan harian warga Qatar dan menyatakan bahawa bekalan makanan di Qatar sekurang-kurangnya cukup untuk setahun. Turki dan Iran juga telah mengalu-alukan untuk menggantikan Saudi sebagai pembekal makanan harian bagi warga Qatar, kerana sebelum ini 40% makanan Qatar adalah hasil import dari Saudi. Qatar memberi isyarat mereka boleh “survive” dari sekatan ini (walaupun kecewa dan mengharapkan hub kembali pulih) dan Menteri Luar Qatar telah menegaskan bahawa mereka tidak akan tunduk kepada telunjuk kuasa luar dan ingin tetap dengan dasar luar yang merdeka. Namun pemimpin Hamas sudah mula keluar dari negara Qatar, tidak tahu di atas permintaan atau langkah awal dari pihak Hamas sendiri. Saudi pernah mengenakan sekatan ke atas Mesir pada tahun 1979 namun tidak membawa kepada sebarang pergolakan, tetapi sekatan ini dilakukan setelah termetarainya perjanjian jadi adalah susah untuk menuntut mesir melakukan sebarang perubahan. Membandingkan Mesir dengan Qatar yang kecil adalah perbandingan yang tidak begitu sesuai, dan sekatan ke atas Qatar hari ini dilihat lebih drastik dari yang dikenakan pada mesir, ada kemungkinan boleh membawa kepada pergolakan bersenjata.
8. Berita 10 tuntutan dan 24jam ultimatum yang dikeluarkan oleh SKyNewsArabiya telah disahkan palsu, UAE menegaskan “tiada sebarang rundingan hendak dilakukan”, memberi isyarat bahawa negara yang mengenakan sekatan tidak akan berundur dari tindakan mereka dan berkeras untuk perubahan polisi secara besar-besaran dilakukan di pihak qatar.
9. Kemungkinan perang adalah jauh. Satu-satu negara akan rela berperang apabila mereka bersedia atau apabila pemimpin mereka bodoh atau tidak punya pilihan. Jika mereka bersedia, “sebab” akan dicipta, seperti Otto vBismarck vs France, atau 9/11, atau kes ISIS Libya bunuh warga Mesir di Libya, ia hanyalah event yang dicipta untuk justifikasi hasrat mereka untuk melakukan jenayah mereka. Ia adalah helah yang biasa dilakukan dalam politik. Fabrikasi tweet yang dilakukan oleh penggodam terhadap Qatar juga begitu walaupun Qatar telah berkali-kali menafikannya, Qatar tetap diserang bertubi-tubi sehinggalah membawa kepada sekatan hari ini. Boleh jadi juga asbab yang berlaku bukan dicipta. Namun kebiasaannya jika pemimpin bijak dan tidak bersedia, letupkanlah apa pun, seperti di Turki yang telah jatuhkan jet Russia atau menyebabkan kematian duta Russia, mereka tidak akan memulakan perang yang mereka tahu mereka tidak mampu selesaikan, atau perang yang barangkali lebih merugikan diri mereka sendiri. Perang akan mula dengan bacaan yang sudah dilakukan awal dan terancang, provokasi kecil hanyalah jambatan sahaja dan bukanlah punca sebenar dalam peperangan. Adapun peperangan yang melibatkan pemain-pemain lebih besar seperti Iran-Saudi atau seumpamanya (instead of Qatar-Saudi/GCC) mungkin boleh berlaku sebagai rentetan peristiwa ini, itu adalah di luar pembacaan kita. [Update : Parlimen Turki meluluskan untuk menghantar tentera ke Qatar]
10. Bersempena hari ke 12 ramadhan, tilawah para imam Tarawih akan surah Yusuf mengingatkan kita kisah kedengkian dan kejahatan adik beradik Nabi Yusuf as terhadap baginda akhirnya berkat kesabaran dan ketaqwaan Nabi Yusuf as Allah taala telah memuliakan baginda lalu baginda memaafkan perbuatan jahat mereka saat mereka datang sebagai para badwi kepada adik mereka yang telah pun menjadi pembesar negara pada ketika itu. Qatar tidaklah islamik sangat pun, tudung pun separuh-separuh, namun akibat simpati mereka kepada gerakan Islam akhirnya mereka dipulaukan seperti bani hasyim yang juga kafir penyembah berhala dipulaukan oleh kafir quraish lain selama tiga tahun di Mekah disebabkan mereka memberikan perlindungan kepada baginda saw untuk menjalankan misi baginda menyampaikan dakwah kepada manusia. Di penghujung surah Yusuf Allah taala mengingatkan, apabila para rasul ini diuji dengan ujian yang begitu berat dan jalan di hadapan seolah begitu sempit, dan seolah-olah sudah mereka telah berputus asa dan rasa tertipu, lalu datanglah kepada mereka pertolongNya lalu diselamatkanlah olehNya sesiapa yang Dia kehendaki…
Gambar I – Tahun lalu Raja Qatar menyerahkan kepada Raja Saudi, sebuah pedang milik Raja Pertama Qatar (Pengasas negara), Jasim bin Muhammad al-Thani sebagai lambang bahawa negara Qatar, bersama dengan Saudi di setiap masa susah dan senang, dengan darah dan maruah. Baginda juga menghadiahkan kuda-kuda arab yang asli kepada Raja Salman. Untuk pengetahuan orang-orang Melayu, bangsa Arab sangat melihat tinggi terhadap pedang dan kuda, sebagai lambang kelakian atau kejantanan, serta kesediaan untuk berkorban dan kesetiaan terhadap perjuangan. Memberikan pedang seolah bersiap untuk bersama ketika senang dan waktu perang. Dan untuk yang tidak biasa dengan kuda, “Arabian horse” adalah antara kuda terbaik di dunia dan yang punya baka asli adalah sangat mahal.
Gambar II – Raja Qatar yang sebelum ini bersama PM Gaza semasa lawatan ke Gaza selepas perang Gaza-Israel 2012. Setengah tahun selepas lawatan beliau turun daripada takhta bersama perdana menterinya yang menimbulkan tanda-tanya bagi sebahagian pihak, namun kebanyakan orang menyambutnya secara terbuka.
—- UPDATED —
Bercakap tentang sekatan 1979 susulan perjanjian Camp David, saya teringat pernah membaca sebuah penulisan yang mengatakan Perjanjian Camp David yang dimeterai antara kerajaan Mesir dan Israel itu sebenarnya menimbulkan kemarahan besar negara-negara Arab terhadap kerajaan Mesir yang dipimpin oleh Anwar Sadat ketika itu. Mereka menganggap Anwar Sadat telah mengkhianati mereka, lalu Saudi mengepalai sebuah sekatan ke atas Mesir. Negara-negara arab lain turut sertai, menurut Anwar Sadat di dalam satu ucapannya yang tersebar baru-baru ini, Saudi membayar negara-negara arab dan afrika untuk mereka sertai sekatan ke atas mesir ketika itu. Namun Perjanjian Camp David tetap berjalan dan tidak dilakukan sebarang perubahan. Beberapa tahun kemudian, walaupun ekonomi Mesir sangat terjejas, namun sekatan yang dikenakan sedikit demi sedikit kendur dan berakhir, dan akhirnya Perjanjian Camp David menjadi titik utama negara-negara Arab lain pula ikut jejak memulihkan hubungan dengan Israel. Berlaku normalisasi (تطبيع) hubungan Arab-Israel, satu demi satu membuat perjanjian, bisnes, transaksi hinggalah menjadi seperti hubungan Arab Israel yang kita lihat sangat rapat hari ini. Dahulu sejak 1948, kemudian zaman Nasser dan kesatuan Arab, dan selepasnya, tidak boleh dibayangkan Arab dan Israel boleh bekerjasama. Perjanjian Camp David telah mematikan pan-Arab dan meng-normalkan hubungan Arab-Israel. Membuat kita terfikir seandainya Qatar bersabar hari ini, barangkali sekatan ini akan kendur dan berakhir, dan bermula era baru untuk hubungan Arab dan gerakan Islam, serta projek pembebasan Baitul Maqdis? Andaian simplistik, namun siapa yang tahu. Wallahualam..
Kredit :
– Zaid Z Rashid
✍ Sumber Pautan : ☕ MyNewsViral
Kredit kepada pemilik laman asal dan sekira berminat untuk meneruskan bacaan sila klik link atau copy paste ke web server : http://ift.tt/2shKzte
(✿◠‿◠)✌ Mukah Pages : Pautan Viral Media Sensasi Tanpa Henti. Memuat-naik beraneka jenis artikel menarik setiap detik tanpa henti dari pelbagai sumber. Selamat membaca dan jangan lupa untuk 👍 Like & 💕 Share di media sosial anda!
Appear First on Malaysia Sepekan
Demikianlah Artikel Jika bukan Qatar, IM dan Hamas, siapakah yang negara arab takutkan ?
Anda sekarang membaca artikel Jika bukan Qatar, IM dan Hamas, siapakah yang negara arab takutkan ? dengan alamat link https://malaysiasepekan.blogspot.com/2017/06/jika-bukan-qatar-im-dan-hamas-siapakah.html